TUGASAN SIW 505
AMALAN MISTIK: PEMBEDAHAN BATIN
NOORAMIRA
BINTI GHAZALI
P-SM0050/13
(CALON
SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN- PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
Artikel ini ditulis bertujuan
membincangkan amalan mistik yang sering diamalkan oleh masyarakat Islam pada
hari ini. Perbincangan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian pengenalan,
bahagian perbincangan dan bahagian kesimpulan. Bahagian pengenalan
membincangkan tentang tujuan artikel ini ditulis, mengkritik amalan pembedahan
batin berdasarkan isu semasa dan pengenalan mengenai amalan pembedahan batin.
Bahagian kedua pula membincangkan tentang definisi pembedahan batin, latar
belakang dan pembincangan pembedahan batin berdasarkan epistemologi Islam. Manakala, bahagian terakhir artikel ini adalah bahagian kesimpulan iaitu merumuskan tentang kesan amalan pembedahan batin berdasarkan syariat Islam.
Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, amalan mistik
dalam kalangan masyarakat Islam telah menjadikan satu isu yang sangat popular.
Pengamalan amalan mistik ini, telah menjadi salah satu daripada kepercayaan
masyarakat Islam dalam sistem perubatan. Terdapat banyak amalan-amalan
mistik yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam pada hari ini seperti
kepercayaan pemujaan kubur, pembedahan batin, ilmu persilatan melayu dan lain-lain.
Pegangan akidah dalam diri masyarakat Islam yang nipis menyebabkan mereka mudah
terpengaruh dengan kepercayaan dan adat yang bertentangan dengan syariat Islam.
Bahkan, pengamalan amalan ini menyebabkan tergelincirnya akidah seseorang
muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT telah
berfirman di dalam Surah Al- Nisa ayat 116, yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan
mengampunkan dosa yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan
mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya), dan sesiapa yang
mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh” (Al-Nisa, 4:116).
Amalan mistik yang akan dibincangkan
menurut epistemologi iaitu pembedahan batin. Adakah amalan mistik ini
dibenarkan di dalam Islam atau diharamkan? Pembedahan batin telah muncul
sebagai teknik perubatan yang sangat popular dalam masyarakat Islam pada dekad
ini. Kaedah ini telah dijadikan satu alternatif kepada pembedahan biasa untuk
merawat penyakit kronik yang melibatkan barah dan ketumbuhan seperti barah
hati, masalah jantung, barah otak dan lain-lain. Kebiasaan individu yang
mengamalkan pembedahan batin ini, menggelarkan dirinya ustaz atau berpakaian
seperti ustaz atau guru agama, menggunakan gelaran tertentu iaitu untuk
meyakinkan orang awam bahawa diri mereka adalah insan yang terpilih yang
mempunyai karamah dan memiliki kebolehan merawat dengan menggunakan kaedah
mistik yang kononnya berlandaskan syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam.
Bahkan dari segi luaran dan zahirnya, pengamal pembedahan batin ini juga
dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat Al-Quran dan tidak memperlihatkan
ciri-ciri yang boleh meragukan mengikut syariat Islam.
Definisi Pembedahan Batin
Definisi pembedahan batin merujuk kepada
Draf Garis Panduan Amalan Perubatan Islam yang telah dikeluarkan oleh Bahagian
Perubatan dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah pembedahan yang dilakukan secara ghaib
yang batil atau dengan bantuan makhluk halus atau secara makrifat. Namun,
terdapat segelintir pengamal yang mengamal perubatan Islam yang tidak bersetuju
dengan draf panduan Amalan Perubatan Islam. Pendefinisian dalam konteks
pemahaman mereka yang berlainan dan bertentangan dengan konsep yang digunakan
dalam perubatan mereka. Contohnya, Pusat Rawatan Keraton yang terletak di Kg
Melayu Majidee, Johor Bharu telah menjelaskan pendefinisian yang telah
dikeluarkan oleh Pihak KKM. Menurut, Pusat Rawatan Keraton, pembedahan batin
ialah pembedahan yang dilakukan tanpa
menggunakan alat pembedahan moden,
pertolongan jin atau sihir yang dipraktikkan menerusi ilmu makrifatullah.
Makrifatullah ialah ilmu untuk mengenal Allah SWT. Pengetahuan yang dicapai
melalui makrifatullah lebih tinggi berbanding pengetahuan akal. Makrifatullah
juga merupakan proses kesinambungan dalam menuntut setiap ilmu pengetahuan dan
rahsia-rahsia kekuasaan Allah SWT. Namun, disebalik kaedah pembedahan batin
tersebut terdapat golongan perawat yang menggunakan kaedah yang salah dalam
perubatan mereka seperti menggunakan khidmat jin, mengamalkan ilmu hitam, silap
mata, dan sihir semasa melakukan pembedahan. Amalan pembedahan batin adalah
haram kerana tiada bukti yang kukuh daripada Al-Quran dan yang telah
disyariatkan. Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi di dalam kitab Fatawa al-Mu’asirah,
sesuatu jampi itu haruslah berdasarkan tiga syarat iaitu, mestilah disasarkan
kepada Allah SWT dan nama-namaNya, mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dengan
kata-kata yang mudah difahami maknanya dan beriktikad bahawa ianya tidak
memberi kesan dengan sendirinya melainkan dengan takdir Allah SWT. Berdasarkan
pandangan tersebut, pembedahan batin merupakan sistem perawatan yang haram
kerana kebiasaan perawat menggunakan khidmat jin, ilmu hitam, jampi dan
lain-lain yang menunjukkan penggunaan yang salah di sisi Islam.
Namun, Islam menyuruh umatnya
berikhtiar apabila sakit. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengubati keluarga,
sahabat-sahabat dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat
Al-Quran serta ubat tradisional. Ini ditegaskan oleh Allah SWT bahawa ayat-ayat
suci Al-Quran menjadi ubat penawar penyakit sebagaimana firmanNya yang
bermaksud:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat
suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak
menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’, 17:82).
Di dalam Al-Quran juga dijelaskan
bahawa perkataan syifa’ atau kesembuhan
sebanyak enam kali. Malah, periwayatan hadis Nabi Muhammad SAW juga begitu
banyak menyebut tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan ayat-ayat Al-Quran
dan doa. Amalan perubatan dengan menggunakan doa dan bacaan ayat Al-Quran
merupakan salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarat sebagai amalan
yang mulia. Namun, perawatan menemui pakar perubatan juga digalakkan di dalam
Islam. Contohnya tokoh-tokoh perubatan awal alopati Islam seperti Ibn Sina,
Al-Zahrawim Ibn al-Haytham, Al-Razi, Ibn Rusyd dan lain-lain juga menunjukkan
perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam dan sekaligus
menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat seperti pembedahan batin.
Berdasarkan pengamal atau perawat yang menggunakan pembedahan batin mereka
mengamalkan bacaan ayat-ayat Al-Quran ketika membuat rawatan dan tidak diragui
dari sudut syarak. Perawat menggunakan jampi dalam merawat pesakit. Menjampi pesakit
disebut di dalam bahasa Arab iaitu Ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan di dalam
Islam dalam merawat pesakit. Ini dapat dilihat berdasarkan sumber periwayatan
hadis Imam Muslim yang menyatakan:
عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ
الْأَشْجَعِيِّ قَالَ: «كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ
اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ فَقَالَ اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ
بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ »
Maksudnya, Daripada Auf bin Malik r.a berkata:
“Kami
pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW: Ya!
Rasulullah SAW apakah pandangan anda tentang jampi? lalu baginda SAW meminta kepada mereka agar mereka
memperdengarkan jampi yang digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW
menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab
La Ba’sa bi al-Ruqaa, Hadis bernombor 4079)
Berdasarkan keterangan hadis tersebut,
jampi mantera boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Seorang sahabat, Jabir RA
memberitahu Rasulullah SAW bahawa bapa saudaranya pandai menjampi. Mendengar
kata-kata tersebut, baginda Rasulullah SAW terus melarang amalan menjampi
mantera. Bapa saudara Jabir RA kemudian menemui Rasullullah SAW dan memperdengarkan bacaan jampi untuk merawat
sakit sengatan kala jengking. Setelah mendengar Rasulullah SAW menjawab:
“sekiranya
ada di antara orang Islam yang berupaya menolong saudaranya, ia hendaklah
berbuat demikian”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab
Istihbab al-Ruqyah min al-Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis
bernombor 4077)
Dalam peristiwa tersebut Rasulullah
SAW, pada mulanya menegah bapa saudara Jabir RA melakukan jampi kerana jampi
yang dituturkan dengan kalimah yang mendatangkan syirik. Setelah mendengar
jampi tersebut, baginda Rasulullah SAW membenarkannya apabila tidak
bertentangan dengan ajaran Islam. Daripada sumber tersebut para ulama telah
meletakkan beberapa syarat terhadap penggunaan jampi mentera atau serapah yang
dibolehkan dan digunakan dalam perubatan Islam. Contohnya, penggunaan ayat-ayat
Al-Quran, menggunakan bahasa yang difahami dan tidak mengitiqad bahawa jampi
itu akan memberi kesan sehingga pesakit sembuh melainkan Kekuasaan Allah SWT.
Namun, penggunaan ayat-ayat Al-Quran oleh pengamal perubatan alternatif tidak
semestinya membuktikan setiap yang dilakukan oleh individu tersebut adalah
benar dan tidak bertentangan menurut syariat Islam. Dalam jampi mantera dan
pembedahan batin, sebahagian daripada jampi yang dituturkan ketika melakukan rawatan
melibatkan sebutan salam, sebutan nama nabi, bismillah dan lain-lain. Namun,
ditengah-tengah jampi mantera dan rawatan tersebut, dipanggil nama-nama jin
yang diperintahkan datang, mengganggu orang-orang tertentu, merasuk dan
menguasai orang berkenaan untuk menyembuhkan penyakit. Bahkan cara perawatan
yang digunakan adalah dengan menjalankan pembedahan tubuh badan dengan tangan
yang kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan
fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dengan bantuan
khidmat jin dan lain-lain. Selain itu, kebiasaan sebutan-sebutan jampi tersebut
diselitkan dengan bacaan Al-Quran yang dituturkan secara perlahan sehingga
pesakit tidak mendengar dan memahami ungkapan tersebut (Wahid Abdul Salam
Baali, 2001). Setiap bacaan yang digunakan yang berkaitan Al-Quran, kandungan
Hadis dan doa dalam jampi mantera perlu jelas bahawa sebutan tersebut tidak
menjaminkan kewujudan kalimah-kalimah ataupun ayat-ayat tersebut menjadi bukti
yang amalan perubatan tersebut dilakukan tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Contohnya, kalimah nama malaikat, Rasul, khalifah dan kalimah-kalimah berkat yang
digunakan semasa perawatan. Penggunaan ayat-ayat Al-Quran di dalam pembedahan
tersebut banyak mengelirukan kerana penggunaan kalimah-kalimah tersebut dicampuradukkan
dengan nama-nama jin yang tidak diketahui tentang hakikat dan tafsiran dengan
tepat. Ungkapan yang digunakan semasa rawatan pembedahan oleh perawat yang
melibatkan ilmu kebatinan Melayu. Perawat yang menggunakan mantera dan jampi,
namun hakikatnya perawat melakukan pemujaan dengan mencampuradukkan kalimah
Allah SWT untuk memanggil jin untuk melakukan pembedahan. Jika jin atau syaitan
tersebut enggan, ia akan disumpah oleh perawat. Ini memperlihatkan seolah-olah
jin tersebut sebagai khadam penutur (Wahid Abdul Salam Baali, 2001). Orang yang meminta pertolongan, seperti
perlindungan diri, perawatan dan lain-lain boleh menyebabkan pemesongan
iktikad. Mereka adalah terdiri daripada orang yang sesat seperti yang
dinyatakan di dala firman Allah SWT, Surah Al-Hijr:42 yang bermaksud:
Yang
bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaKu,
tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa
Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri)” (Al-Hijr,
15:42)
Pembedahan Batin berdasarkan Epistemologi
Islam
Menurut epistemologi, pembedahan yang pertama berdasarkan Islam iaitu
pembedahan dada Rasulullah SAW yang telah dilaksanakan oleh malaikat Jibrail.
Setelah dada baginda Rasulullah SAW dibedah, Jibrail mengeluarkan jantung atau hati
baginda, kemudian dikeluarkan daripada segumpal darah. Jibrail berkata: Ini
bahagian syaitan daripadamu, lalu Jibrail membasuhnya di dalam bekas air yang
diperbuat dari emas dengan air zam-zam, kemudian mencantumkan kembali jantung
atau hati Rasulullah SAW dan diletakkan ke tempat asalnya. Menurut Anas bin
Malik, setelah menceritakan kisah ini, yakni kisah dari Sohih Muslim, beliau
berkata: Aku pernah melihat kesan jahitan pada dada Rasulullah SAW. Berdasarkan
epistemologi pembedahan pertama ke atas Rasulullah SAW, kata daripada Anas bin
Malik, kita dapat mengetahui bahawa pembedahan yang telah dijalankan oleh
Jibrail telah meninggalkan kesan pada tubuh Rasulullah SAW. Namun, kita
sepatutnya meragui bahawa sebahagian perawat yang menjalankan pembedahan pada
dekad ini iaitu pembedahan batin jelaslah menujukkan bahawa tidak meninggalkan
sebarang kesan apabila dibedah. Hal ini menunjukkan bahawa, pembedahan batin
yang telah dijalankan oleh perawat menunjukkan penggunaan unsur syirik dan
khurafat yang telah terpesong dengan akidah Islam. Menurut Penasihat Persatuan
Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Harun Din, beliau menjelaskan
bahawa pembedahan batin melibatkan penggunaan syaitan dan jin sebagai
perantaraan. “Kaedah tersebut semestinya membawa kepada khurafat dan syirik.
Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ramai tokoh
agama di Malaysia berpendapat bahawa mereka berasa was-was dengan pembedahan
batin”.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pembedahan batin
merupakan salah satu amalan mistik yang dapat memesongkan akidah umat Islam.
Kepercayaan terhadap rawatan secara pembedahan batin harus disingkirkan dalam
masyarakat muslim kerana pembedahan batin merupakan unsur bersifat khurafat dan
syirik. Malahan tiada pembuktian di dalam Al-Quran dan Hadis yang menjelaskan
bahawa pembedahan batin mengikut syariat Islam. Amalan ini haram dilakukan
kerana pengamal mugkin menggunakan ilmu hitam, khidmat jin atau syaitan, silap
mata dan sihir semasa rawatan. Penggunaan amalan-amalan tersebut semasa
menjalankan pembedahan merupakan salah satu penyelewangan dalam akidah Islam.
Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus, ayat 106 yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja selain dari
Allah,yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak mendatangkan
mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah
engkau orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik
itu)”, (Yunus,
10:106).
Oleh itu, masyarakat Islam pada hari
ini perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan amalan atau budaya mistik
dalam kehidupan harian. Sesungguhnya, kebahagiaan di dunia dan akhirat dapat
dicapai apabila keredhaan daripada Allah SWT kepada hambaNya. (Muhammad Syukri,
2003). Justeru itu, umat Islam perlu menghindarkan diri daripada melakukan
kemaksiatan kepada Allah SWT agar sentiasa di bawah perlindungan dan penjagaan
Allah SWT.
Bibliografi
Muhammad Syukri Salleh (2003), 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan
Islam, Kuala Lumpur, Zebra Editions Sdn. Bhd
PEMBEDAHAN BATIN…ADAKAH HARAM ATAU DIBENARKAN
DI DALAM ISLAM???, KHAMIS 13/MAC/2011, http://darussyifabanting.blogspot.com/2011/03/pembedahan-batin-adakah-haram-atau.html, Diakses pada 17/11/2013
Quraish Shihab (2004), Mistik, Seks dan Ibadah, Jakarta,
Penerbit Republika
TAHNIAH
PUSAT RAWATAN KERATON, JUMAAT, 08/11/2013, http://tahniahkepadapusatrawatankeraton.blogspot.com/ diakses pada 16/11/2013
Terjemahan Al-Hidayah (2010), Al- Quran Al-Karim,( Rasm Uthmani)
Dalam Bahasa Melayu, Al-Hidayah House of Quran sdn bhd
Ustaz Dr.
Zaharuddin Abd Rahman, hukum & Status Pembedahan Batin & Yang Sepertinya.%//, n.d), https://www.facebook.com/notes/zaharuddinnet/hukum-status-pembedahan-batin-yang-sepertinya/10150327048116083
diakses pada 17/11/2013
UTUSAN ONLINE, KEAIJAIBAN BEDAH
BATIN, 29/12/2013, http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121229/re_07/Keajaiban-bedah-batin
diakses
pada 30/11/2013
No comments:
Post a Comment