Followers

Monday, December 2, 2013

TUGASAN SIW 505

AMALAN MISTIK: PEMBEDAHAN BATIN
NOORAMIRA BINTI GHAZALI
P-SM0050/13
(CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN- PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
        Artikel ini ditulis bertujuan membincangkan amalan mistik yang sering diamalkan oleh masyarakat Islam pada hari ini. Perbincangan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian pengenalan, bahagian perbincangan dan bahagian kesimpulan. Bahagian pengenalan membincangkan tentang tujuan artikel ini ditulis, mengkritik amalan pembedahan batin berdasarkan isu semasa dan pengenalan mengenai amalan pembedahan batin. Bahagian kedua pula membincangkan tentang definisi pembedahan batin, latar belakang dan pembincangan pembedahan batin berdasarkan epistemologi Islam. Manakala, bahagian terakhir artikel ini adalah bahagian kesimpulan iaitu merumuskan tentang kesan amalan pembedahan batin berdasarkan syariat Islam. 
Pengenalan
       Sejak kebelakangan ini, amalan mistik dalam kalangan masyarakat Islam telah menjadikan satu isu yang sangat popular. Pengamalan amalan mistik ini, telah menjadi salah satu daripada kepercayaan masyarakat Islam dalam sistem perubatan. Terdapat banyak amalan-amalan mistik yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam pada hari ini seperti kepercayaan pemujaan kubur, pembedahan batin, ilmu persilatan melayu dan lain-lain. Pegangan akidah dalam diri masyarakat Islam yang nipis menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan kepercayaan dan adat yang bertentangan dengan syariat Islam. Bahkan, pengamalan amalan ini menyebabkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al- Nisa ayat 116, yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya), dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh” (Al-Nisa, 4:116).

        Amalan mistik yang akan dibincangkan menurut epistemologi iaitu pembedahan batin. Adakah amalan mistik ini dibenarkan di dalam Islam atau diharamkan? Pembedahan batin telah muncul sebagai teknik perubatan yang sangat popular dalam masyarakat Islam pada dekad ini. Kaedah ini telah dijadikan satu alternatif kepada pembedahan biasa untuk merawat penyakit kronik yang melibatkan barah dan ketumbuhan seperti barah hati, masalah jantung, barah otak dan lain-lain. Kebiasaan individu yang mengamalkan pembedahan batin ini, menggelarkan dirinya ustaz atau berpakaian seperti ustaz atau guru agama, menggunakan gelaran tertentu iaitu untuk meyakinkan orang awam bahawa diri mereka adalah insan yang terpilih yang mempunyai karamah dan memiliki kebolehan merawat dengan menggunakan kaedah mistik yang kononnya berlandaskan syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam. Bahkan dari segi luaran dan zahirnya, pengamal pembedahan batin ini juga dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat Al-Quran dan tidak memperlihatkan ciri-ciri yang boleh meragukan mengikut syariat Islam.

Definisi Pembedahan Batin
       Definisi pembedahan batin merujuk kepada Draf Garis Panduan Amalan Perubatan Islam yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Perubatan dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  ialah pembedahan yang dilakukan secara ghaib yang batil atau dengan bantuan makhluk halus atau secara makrifat. Namun, terdapat segelintir pengamal yang mengamal perubatan Islam yang tidak bersetuju dengan draf panduan Amalan Perubatan Islam. Pendefinisian dalam konteks pemahaman mereka yang berlainan dan bertentangan dengan konsep yang digunakan dalam perubatan mereka. Contohnya, Pusat Rawatan Keraton yang terletak di Kg Melayu Majidee, Johor Bharu telah menjelaskan pendefinisian yang telah dikeluarkan oleh Pihak KKM. Menurut, Pusat Rawatan Keraton, pembedahan batin ialah pembedahan yang dilakukan  tanpa menggunakan alat pembedahan  moden, pertolongan jin atau sihir yang dipraktikkan menerusi ilmu makrifatullah. Makrifatullah ialah ilmu untuk mengenal Allah SWT. Pengetahuan yang dicapai melalui makrifatullah lebih tinggi berbanding pengetahuan akal. Makrifatullah juga merupakan proses kesinambungan dalam menuntut setiap ilmu pengetahuan dan rahsia-rahsia kekuasaan Allah SWT. Namun, disebalik kaedah pembedahan batin tersebut terdapat golongan perawat yang menggunakan kaedah yang salah dalam perubatan mereka seperti menggunakan khidmat jin, mengamalkan ilmu hitam, silap mata, dan sihir semasa melakukan pembedahan. Amalan pembedahan batin adalah haram kerana tiada bukti yang kukuh daripada Al-Quran dan yang telah disyariatkan. Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi di dalam kitab Fatawa al-Mu’asirah, sesuatu jampi itu haruslah berdasarkan tiga syarat iaitu, mestilah disasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya, mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dengan kata-kata yang mudah difahami maknanya dan beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya melainkan dengan takdir Allah SWT. Berdasarkan pandangan tersebut, pembedahan batin merupakan sistem perawatan yang haram kerana kebiasaan perawat menggunakan khidmat jin, ilmu hitam, jampi dan lain-lain yang menunjukkan penggunaan yang salah di sisi Islam.
         Namun, Islam menyuruh umatnya berikhtiar apabila sakit. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengubati keluarga, sahabat-sahabat dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran serta ubat tradisional. Ini ditegaskan oleh Allah SWT bahawa ayat-ayat suci Al-Quran menjadi ubat penawar penyakit sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”  (Al-Isra’, 17:82).
          Di dalam Al-Quran juga dijelaskan bahawa  perkataan syifa’ atau kesembuhan sebanyak enam kali. Malah, periwayatan hadis Nabi Muhammad SAW juga begitu banyak menyebut tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan ayat-ayat Al-Quran dan doa. Amalan perubatan dengan menggunakan doa dan bacaan ayat Al-Quran merupakan salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarat sebagai amalan yang mulia. Namun, perawatan menemui pakar perubatan juga digalakkan di dalam Islam. Contohnya tokoh-tokoh perubatan awal alopati Islam seperti Ibn Sina, Al-Zahrawim Ibn al-Haytham, Al-Razi, Ibn Rusyd dan lain-lain juga menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam dan sekaligus menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat seperti pembedahan batin. Berdasarkan pengamal atau perawat yang menggunakan pembedahan batin mereka mengamalkan bacaan ayat-ayat Al-Quran ketika membuat rawatan dan tidak diragui dari sudut syarak. Perawat menggunakan jampi dalam merawat pesakit. Menjampi pesakit disebut di dalam bahasa Arab iaitu Ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan di dalam Islam dalam merawat pesakit. Ini dapat dilihat berdasarkan sumber periwayatan hadis Imam Muslim yang menyatakan:
عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ: «كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ فَقَالَ اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ »
Maksudnya, Daripada Auf bin Malik r.a berkata:
“Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW: Ya! Rasulullah SAW apakah pandangan anda tentang jampi? lalu baginda SAW  meminta kepada mereka agar mereka memperdengarkan jampi yang digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab La Ba’sa bi al-Ruqaa, Hadis bernombor 4079)
         Berdasarkan keterangan hadis tersebut, jampi mantera boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Seorang sahabat, Jabir RA memberitahu Rasulullah SAW bahawa bapa saudaranya pandai menjampi. Mendengar kata-kata tersebut, baginda Rasulullah SAW terus melarang amalan menjampi mantera. Bapa saudara Jabir RA kemudian menemui Rasullullah SAW dan  memperdengarkan bacaan jampi untuk merawat sakit sengatan kala jengking. Setelah mendengar Rasulullah SAW menjawab:
“sekiranya ada di antara orang Islam yang berupaya menolong saudaranya, ia hendaklah berbuat demikian”. 
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4077)
         Dalam peristiwa tersebut Rasulullah SAW, pada mulanya menegah bapa saudara Jabir RA melakukan jampi kerana jampi yang dituturkan dengan kalimah yang mendatangkan syirik. Setelah mendengar jampi tersebut, baginda Rasulullah SAW membenarkannya apabila tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Daripada sumber tersebut para ulama telah meletakkan beberapa syarat terhadap penggunaan jampi mentera atau serapah yang dibolehkan dan digunakan dalam perubatan Islam. Contohnya, penggunaan ayat-ayat Al-Quran, menggunakan bahasa yang difahami dan tidak mengitiqad bahawa jampi itu akan memberi kesan sehingga pesakit sembuh melainkan Kekuasaan Allah SWT. Namun, penggunaan ayat-ayat Al-Quran oleh pengamal perubatan alternatif tidak semestinya membuktikan setiap yang dilakukan oleh individu tersebut adalah benar dan tidak bertentangan menurut syariat Islam. Dalam jampi mantera dan pembedahan batin, sebahagian daripada jampi yang dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan salam, sebutan nama nabi, bismillah dan lain-lain. Namun, ditengah-tengah jampi mantera dan rawatan tersebut, dipanggil nama-nama jin yang diperintahkan datang, mengganggu orang-orang tertentu, merasuk dan menguasai orang berkenaan untuk menyembuhkan penyakit. Bahkan cara perawatan yang digunakan adalah dengan menjalankan pembedahan tubuh badan dengan tangan yang kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dengan bantuan khidmat jin dan lain-lain. Selain itu, kebiasaan sebutan-sebutan jampi tersebut diselitkan dengan bacaan Al-Quran yang dituturkan secara perlahan sehingga pesakit tidak mendengar dan memahami ungkapan tersebut (Wahid Abdul Salam Baali, 2001). Setiap bacaan yang digunakan yang berkaitan Al-Quran, kandungan Hadis dan doa dalam jampi mantera perlu jelas bahawa sebutan tersebut tidak menjaminkan kewujudan kalimah-kalimah ataupun ayat-ayat tersebut menjadi bukti yang amalan perubatan tersebut dilakukan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Contohnya, kalimah nama malaikat, Rasul, khalifah dan kalimah-kalimah berkat yang digunakan semasa perawatan. Penggunaan ayat-ayat Al-Quran di dalam pembedahan tersebut banyak mengelirukan kerana penggunaan kalimah-kalimah tersebut dicampuradukkan dengan nama-nama jin yang tidak diketahui tentang hakikat dan tafsiran dengan tepat. Ungkapan yang digunakan semasa rawatan pembedahan oleh perawat yang melibatkan ilmu kebatinan Melayu. Perawat yang menggunakan mantera dan jampi, namun hakikatnya perawat melakukan pemujaan dengan mencampuradukkan kalimah Allah SWT untuk memanggil jin untuk melakukan pembedahan. Jika jin atau syaitan tersebut enggan, ia akan disumpah oleh perawat. Ini memperlihatkan seolah-olah jin tersebut sebagai khadam penutur (Wahid Abdul Salam Baali, 2001). Orang yang meminta pertolongan, seperti perlindungan diri, perawatan dan lain-lain boleh menyebabkan pemesongan iktikad. Mereka adalah terdiri daripada orang yang sesat seperti yang dinyatakan di dala firman Allah SWT, Surah Al-Hijr:42 yang bermaksud:

Yang bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri)” (Al-Hijr, 15:42)

Pembedahan Batin berdasarkan Epistemologi Islam
         Menurut epistemologi, pembedahan  yang pertama berdasarkan Islam iaitu pembedahan dada Rasulullah SAW yang telah dilaksanakan oleh malaikat Jibrail. Setelah dada baginda Rasulullah SAW dibedah, Jibrail mengeluarkan jantung atau hati baginda, kemudian dikeluarkan daripada segumpal darah. Jibrail berkata: Ini bahagian syaitan daripadamu, lalu Jibrail membasuhnya di dalam bekas air yang diperbuat dari emas dengan air zam-zam, kemudian mencantumkan kembali jantung atau hati Rasulullah SAW dan diletakkan ke tempat asalnya. Menurut Anas bin Malik, setelah menceritakan kisah ini, yakni kisah dari Sohih Muslim, beliau berkata: Aku pernah melihat kesan jahitan pada dada Rasulullah SAW. Berdasarkan epistemologi pembedahan pertama ke atas Rasulullah SAW, kata daripada Anas bin Malik, kita dapat mengetahui bahawa pembedahan yang telah dijalankan oleh Jibrail telah meninggalkan kesan pada tubuh Rasulullah SAW. Namun, kita sepatutnya meragui bahawa sebahagian perawat yang menjalankan pembedahan pada dekad ini iaitu pembedahan batin jelaslah menujukkan bahawa tidak meninggalkan sebarang kesan apabila dibedah. Hal ini menunjukkan bahawa, pembedahan batin yang telah dijalankan oleh perawat menunjukkan penggunaan unsur syirik dan khurafat yang telah terpesong dengan akidah Islam. Menurut Penasihat Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Harun Din, beliau menjelaskan bahawa pembedahan batin melibatkan penggunaan syaitan dan jin sebagai perantaraan. “Kaedah tersebut semestinya membawa kepada khurafat dan syirik. Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ramai tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa mereka berasa was-was dengan pembedahan batin”.

Kesimpulan
           Kesimpulannya, pembedahan batin merupakan salah satu amalan mistik yang dapat memesongkan akidah umat Islam. Kepercayaan terhadap rawatan secara pembedahan batin harus disingkirkan dalam masyarakat muslim kerana pembedahan batin merupakan unsur bersifat khurafat dan syirik. Malahan tiada pembuktian di dalam Al-Quran dan Hadis yang menjelaskan bahawa pembedahan batin mengikut syariat Islam. Amalan ini haram dilakukan kerana pengamal mugkin menggunakan ilmu hitam, khidmat jin atau syaitan, silap mata dan sihir semasa rawatan. Penggunaan amalan-amalan tersebut semasa menjalankan pembedahan merupakan salah satu penyelewangan dalam akidah Islam. Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus, ayat 106 yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja selain dari Allah,yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”, (Yunus, 10:106).
        Oleh itu, masyarakat Islam pada hari ini perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan amalan atau budaya mistik dalam kehidupan harian. Sesungguhnya, kebahagiaan di dunia dan akhirat dapat dicapai apabila keredhaan daripada Allah SWT kepada hambaNya. (Muhammad Syukri, 2003). Justeru itu, umat Islam perlu menghindarkan diri daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT agar sentiasa di bawah perlindungan dan penjagaan Allah SWT.



Bibliografi
Muhammad Syukri Salleh (2003), 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam, Kuala Lumpur, Zebra Editions Sdn. Bhd
PEMBEDAHAN BATIN…ADAKAH HARAM ATAU DIBENARKAN DI DALAM ISLAM???, KHAMIS 13/MAC/2011, http://darussyifabanting.blogspot.com/2011/03/pembedahan-batin-adakah-haram-atau.html, Diakses pada 17/11/2013
Quraish Shihab (2004), Mistik, Seks dan Ibadah, Jakarta, Penerbit Republika
TAHNIAH PUSAT RAWATAN KERATON, JUMAAT, 08/11/2013, http://tahniahkepadapusatrawatankeraton.blogspot.com/ diakses pada 16/11/2013
Terjemahan Al-Hidayah  (2010), Al- Quran Al-Karim,( Rasm Uthmani) Dalam Bahasa Melayu, Al-Hidayah House of Quran sdn bhd
UTUSAN ONLINE, KEAIJAIBAN BEDAH BATIN, 29/12/2013, http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121229/re_07/Keajaiban-bedah-batin
 diakses pada 30/11/2013

Wahid Abdul Salam Baali (2001), Bagaimana Menentang Ilmu Hitam, Johor Bharu, Johor Darul Takzim, Perniagaan Jahabersa






Sunday, December 1, 2013

Bila Diuji, Sungguh Indah..

Sabar itu indah...
Setiap ujian Allah SWT, tanda kasih sayang Allah SWt kepada hambaNYa..